Pastor Amerika peluk Islam, jadi pendakwah kerana terjemahan Quran

Seorang pastor gereja merangkap pendakyah Kristian dari Amerika Syarikat, Dr Samuel Earle Shropshire mengembara ke Jeddah pada tahun 2012 untuk melibatkan diri dalam usaha penterjemahan al-Quran ke dalam bahasa Inggeris.

Beliau bertanggungjawab untuk memastikan terjemahan bahasa Inggeris itu mudah difahami oleh para pembaca yang tidak memahami bahasa Arab. Tugasannya itu menyebabkan beliau terpaksa membaca keseluruhan terjemahan al-Quran berulang kali dari kulit ke kulit.

“Sepertimana yang kamu boleh bayangkan, tanpa sebarang pengetahuan mengenai Islam, saya ada beratus-ratus persoalan yang timbul.”

“Saya terkejut bila tahu Jesus sejahtera ke atasnya selalu disebut dalam al-Quran. Jesus diutuskan sebagai salah seorang rasul yang agung dan kisah mengenai kelahiran tanpa bapa oleh ibu yang masih perawan juga disebut di dalamnya.”

“Banyak mukjizat yang Jesus saya temukan dalam al-Quran, dan ada beberapa mukjizat Jesus yang disebut dalam al-Quran tetapi tidak terdapat di dalam Bible.” Sepertimana kebanyakan warga bukan Islam di Barat, seumur hidup beliau telah disogok dengan pelbagai cerita negatif dan fitnah di media mengenai agama Islam dan umatnya.

Namun, kehidupan yang dialami sendiri olehnya di negara Islam itu langsung tidak sama dengan tanggapan negatif yang selama ini beliau pegang. Menurutnya, pengalaman hidup bersama umat Islam yang bersungguh-sungguh mengamalkan akhlak yang mulia menjadi antara sebab utama beliau memilih untuk memeluk agama Islam.

Akhlak yang mulia umat Islam dan pembacaan sendiri terjemahan al-Quran memotivasikan beliau untuk lebih mendalami agama Islam dan seterusnya memberi keyakinan untuknya melafazkan syahadah.

Selepas memeluk Islam, Dr Samuel Earle Shropshire menubuhan sebuah organisasi dakwah , Muslim Voice for Peace & Reconciliation (MVPR), bagi menyebarkan agama Islam dan memurnikan salah faham masyarakat bukan Islam terhadap agama Islam.

Sumber; klselangor.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*